Wednesday, 10 September 2014

Hello Kitty Town, Nusajaya

Assalamualaikum,

Entri kali ni saya nak berkisah tentang lawatan ke Hello Kitty Town, Nusajaya pada bulan Jun 2014 yang lalu.  Sesuai dengan tempat permainan kanak-kanak, mestilah yang dibawa ke sana juga ialah kanak-kanak.  Jadi kali ini, saya bawa Amani, Ellyssa, Nabilah, Mahirah, Nana dan Fatin.  

Harga tiketnya pula ada diskaun dari RHB Bank RM180 untuk 3 tiket maksudnya RM60/tiket, kalau tidak RM85/tiket.  Jadi beli 6 keping tiket dari RHB Bank dan sekeping tiket beli di lokasi kejadian.  
bergambar dulu sebelum masuk

masuk-masuk je beratur untuk bergambar dengan ikon Hello Kitty

Masuk sahaja, setiap orang akan diberi sekeping kad dan gelang di tangan.  Sebelum masuk, semua beg kecuali beg tangan akan diperiksa untuk memastikan tiada makan disonglap masuk.  Budak-budak ni dah kekenyangan makan nasi goreng dengan nuget sejurus sebelum masuk.  Yang pasti setakat 2,3 jam ni mesti belum lapar.

ada juga tempat-tempat permainan seperti ni

ni wishful studio...Amani sedang pegang kad yang saya sebut tadi.

Di Hello Kitty Town ni ada tiga tingkat.  Tingkat 1 Hello Kitty Town, tingkat 2 Thomas and Friend dan tingkat 3 Little Big Club.  Kalau tak silap tempat ni dibuka jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang.
beratur sebelum masuk Wishful Studio yang pertama

sedang menunggu hidangan biskut Hello Kitty 
bersemangat Nana dan Lisa menghias biskut sebelum di'ngap'









tengah menunggu gelang Hello Kitty di dalam Wishful Studio...
amboi Amani macam pening je...

Kalau tak silap ada 4 kut Wishful Studio...buat biskut, buat gelang, buat butang Hello Kitty dan studio bergambar dengan pakaian watak-watak cerita Hello Kitty.  Setiap tempat dan setiap ruang ada jurufoto Hello Kitty yang akan snap gambar kita.  Terpulanglah kepada kita sama ada nak beli atau tidak.


Parade

Persembahan Nyanyian dan Lakonan
Selain ada Wishful Studio, ada juga persembahan nyanyian dan lakonan tapi ada ketetapan masa.  Nanti dia akan buat pengumuman minta semua berkumpul depan pentas.  Selain tu ada juga Rumah Hello Kitty dan Hello Kitty Dark (ingat-ingat lupa).  Amani takut masuk sini...gambar Hello Kitty jahat...


Lawatan ke Rumah Hello Kitty

kiut-muit semua peralatan dalam rumah Hello Kitty

gambar bilik tidur si Kitty....

Kami keluar lebih kurang jam 6.00 petang. Dalam bangunan tu ada surau.  Tak jumpa pula gambar-gambar semasa di tingkat 2 dan 3.  Bagi saya, lawatan ke Hello Kitty Sanrio ni berbaloi dengan keseronokan di wajah anak-anak.  cuma tak bolehlah selalu...mahal!!  Sangat sesuai untuk anak-anak perempuan lingkungan usia 4 hingga 12 tahun kut.  Yang dah remaja tu agak malu-malu sikit nak beraksi seperti adik-adik dia...

Bagi ibu bapa yang selalu sibuk, marilah kita ruangkan sedikit masa untuk menggembirakan anak-anak.  Duit boleh dicari...tapi kenangan diukir melalui pengalaman-pengalaman seperti ini.

Tuesday, 9 September 2014

Jalan-jalan ke Lost World of Tambun


Assalamualaikum...bertemu lagi dalam ruang catatan perjalanan destinasi bajet...

Kali ni kami sekeluarga ke Lost World of Tambun di Tambun, Perak (4 Ogos 2014).  Perjalanan kami...alhamdulillah lancar.  Hari raya Aidil fitri hari ke-4, mungkin pengguna lebuh raya belum memulakan perjalanan pulang ke destinasi masing-masing selepas berhari raya di kampung halaman.  Tiket masuk untuk dewasa RM42.50 kalau tak silap. Ada diskaun 15% untuk pemegang kad Mesra Petronas.  Hotel Lost of Tambun pun ada diskaun 60% untuk pemegang kad ini.  Selain tu boleh guna kad debit atau kad kredit terpilih...tak ingat apa.


Masuk Hot Spring sebab dapat tiket percuma...

Kami tiba dalam pukul 3.00 petang tapi tak masuk ke Waterpark tu dulu sebab rugi dah petang.  Malam tu kami masuk Hot Spring sebab dapat tiket percuma.  Ramainya orang yang nak mandi-manda belah malam rupanya... ada juga pertunjukan bunga api...bunga api ke? Ala api yang keluar dari mulut tu...


Pagi-pagi dalam pukul 10.00 pagi bersedia nak meneroka Lost World
bersama dengan suami dan anak-anak.  Masa ni adik belum sampai...

si kecil Amani...ermm tak sempat tukar baju mandi pun...terus terjun kolam kanak-kanak
sebelum basah...anak-anak main yang kering-kering dulu

Penat berjalan-jalan...main segala permainan yang ada, barulah anak-anak terjun kolam, kecuali si amani yang tersabar-sabar lagi.  Ada juga taman haiwan mini...ada burung unta, harimau, rusa, unggas dan beberapa lagi.  Ok jugalah...kalau nak lagi banyak kena pergi ke zoo lah...hehehe

Pasal makan tu... biasalah lebih mahal sedikit dari beli di luar.  Tapi bolehlah buat mengalas perut yang lapar.

Selain kolam dan tempat-tempat permainan ala-ala Genting tu, ada juga gua.  
 Sesiapa yang tak pernah masuk gua, dapatlah peluang masuk ke dalam gua di Lost World ini.  Agak mengerikan tapi sejuk...agaknya sebab diletakkan pendingin hawa kut.

gambar dulu sebelum mendulang bijih timah

berpeluang mendulang bijih timah...pasir je
 Satu lagi yang saya sendiri suka semasa di sini, setiap jam 4.00 petang...ada aerobik di dalam air yang diketuai oleh instruktor.  Kami pun dengan semangat...ikut aerobik...

Apapun kami seronok menghabiskan dua hari ke Lost World of Tambun ni.  Walaupun agak jauh dari Johor tapi rasanya berbaloi dan yang lebih penting menyeronokkan anak-anak!!

Wang ringgit boleh dicari...tapi kenangan manis bersama dengan keluarga lebih mahal harganya...





Tuesday, 30 July 2013

Cameron Highlands...aku datang lagi!

Assalamualaikum,

Kali ini  nak bercerita kisah ke Cameron Highlands pula.  Sama juga dengan post terdahulu, bukan baru ke sana cuma baru berpeluang meluah rasa dalam blog. Rasanya sekitar bulan Jun 2012 tahun lalu. Setakat ni dah dua tiga kali kami sekeluarga ke Cameron Highlands.  Seronok juga...tu yang berulang  lawatan ke sini.   Kali pertama menginap di KRS Homestay di Tanah Rata dan kali kedua pula di Hotel Century Pine juga di Tanah Rata.  Kalau ke Cameron Highlands, tak sah rasanya jika tidak ke Strawberry Park.  Di sini ada banyak tempat untuk memetik buah merah ranum ni.  Antaranya Big Red Strawberry Farm yang kami lawati ini...masuk percuma je.
posing dulu sebelum meneroka taman yang luas ni...
pokok kaktus pun ada


Petik strawberi...RM20 untuk masuk petik strawberi satu bakul plastik kecil, boleh tukar-tukar orang...
Merah-merah, ranum....petik dalam bakul plastik, lepas tu timbang beratnya...

 Selepas seharian di Taman Strawberi ini, kami duduk makan-makan di kafe yang ada di sana.  Banyak juga pilihan makanan ringan tapi banyak yang berasaskan strawberi seperti kek keju strawberi, teh strawberi dan ais krim strawberi.
Yum...yum...bestnya, luar sejuk, makan ais krim lagi sejuk!
Kalau ke Cameron Highlands, jangan lupa ke Muzium Time Tunnel di Brinchang.  Sungguh menarik...dengan bayaran masuk cuma RM5/seorang, banyaknya nostalgia zaman kanak-kanak terimbau semula di Time Tunnel ni.  Jangan lupa ke Time Tunnel ni tau, pasti berbaloi dengan RM5 kita tu!

meja kedai kopi...sembang apalah tu...

helo...helo...telefon jenis dail yang bulat tu...ingat tak?
budak dua orang ni buat apa ni?  Cabut gigi ke?
Sebenarnya banyak lagi gambar lawatan ke Cameron Highlands tapi ter'delete' dari kamera Canon kesayanganku.  Singgah juga ke Lata Iskandar yang dingin airnya hingga ke tulang hitam...Yang nyata, Malaysia memang menarik...jom jalan-jalan...destinasi bajet!!


Saturday, 6 April 2013

Percutian Bajet Ke Kuching, Sarawak...2010

Lawatan ke Kuching ni bukanlah baru lagi...tapi baru sempat nak tulis ceritanya.  Masa tu ada promosi dari Air Asia...tempah tiket flight pergi-balik untuk 4 dewasa, seorang kanak-kanak dan seorang bayi cuma sekitar rm 200.00, terima kasih Air Asia.  Tapi adik tak dapat pergi, tetiba ada test jadi terpaksa tarik diri.  Kami berlima menginap di Merdeka Palace Hotel...5 bintang kalau tak silap...terima kasih pula pada Agoda.com, baru lah merasa tinggal hotel 5 bintang.

Di Senai Airport

Dari Senai Airport kami sampai Airport Kuching, kereta Wira yang disewa dah sedia menunggu kami di sana.  Terus ke Merdeka Palace, Kuching.

Seronok sangat Amani tatkala masuk bilik...dah penat agaknya 
Percutian kali ini kami mulakan dengan lawatan ke Muzium Kuching yang cuma bersebelahan saja dengan hotel kami.

 

Dalam kawasan muzium ni ada beberapa muzium selain muzium Kucing
Tempat yang paling saya sukai ialah Main Bazaar, bertentangan dengan Waterfront.  Tempat ni agaknya kerap betul saya kunjungi...sampai ada tuan kedai tu tanya..."Eh belum balik lagi?" Bukan beli apapun...cenderamata biasa je seperti rantai kunci, t-shirt, kain batik Sarawak.  Yang seronoknya di Main Bazaar ni, masih banyak cenderamata yang berharga RM1.00, kalau pandai tawar, bawah RM1.00 pun boleh dapat.

 Pasar Satok...di belakang ni tempat kami beli Terubuk Masin yang popular tu...
 Ni Nabilah...bergaya tepi Kuching Water Front
 Kata orang kalau ke Kuching, tak sah kalau tak bergambar di mercu tanda bandar raya Kuching ni... jadi kami pun bergambar lah di tengah-tengah kesibukan bandar tu...
Yang uniknya di Kuching ni, tak ada saya jumpa kucing-kucing kurap mahupun yang tak kurap berkeliaran biarpun di kedai-kedai makan.  Mana perginya kucing-kucing ini?  Harga makanan pula berpatutan.  Berhadapan Merdeka Palace ada tempat makan yang ada banyak pilihan...bawahnya tempat parking, atasnya semua gerai makan.  Sebelum balik, kami melawat ke Crocodile Farm.  Pusing-pusing akhirnya jumpa.  Crocodile Farm ni milik persendirian.  Berbaloi juga ke sini, macam-macam jenis buaya dapat ditemukan.  Yang tak ada buaya darat je...Hehehe...


Buaya yang kelihatan lapar...

Buaya yang dapat ditawan...

Akhirnya setelah 3 hari 2 malam di Kuching Sarawak, kami pun bertolak balik.  Percutian hujung minggu saja.  Apapun saya suka ke Kuching Sarawak, bandar rayanya bersih dan banyak tempat  boleh dilawati.  Jom ke Kuching....

Thursday, 23 August 2012

Glory Beach Resort, PD

Assalamualaikum,

Balik dari Fraser Hill, kami singgah ke Glory Beach Resort di Port Dickson.  Anakku Nabilah bersungguh-sungguh sangat nak bermain air, mandi laut dan membina istana pasir.  Selagi tak dibawa, tak henti-henti bercerita pasal laut dan pasir.  Jadi kami pun singgah lah ke PD.  Melalui Agoda.com juga, aku menempah penginapan di sini.  Mungkin sebab bukan 'peak season' penginapan apartment 2 bilik hanya rm233 sahaja.  Alhamdulillah, masih dalam kemampuan.  Sarapan pula untuk 3 orang dewasa, jadi cuma top up bayaran untuk 2 orang anak yang bayarannya rm12 setiap orang.  Keseluruhannya aku beri 7.5 kut untuk Glory Beach Resort ni...

Pemandangan dari balkoni tingkat 3

Mula-mula dapat ground floor, mujur juga dapat tukar apartment.  Rasa kurang selamat jika di ground floor kerana pintu sliding tu tidak berkunci.  Nak keluar bilik je tak kan nak berangkut semua barang-barang berharga.  Mujurlah staf di Glory Beach Resort ini agak mesra pelanggan.  Dengan senang hati kami ditukarkan ke tingkat 3.  Mungkin juga sebab banyak bilik kosong, jadi tak ada masalah lah nak beri bilik lain. Melihatkan kolam renangnya yang sangat sesuai untuk kanak-kanak, Nabilah yang begitu teruja nak ke pantai bermain pasir, dah terlupa agaknya tatkala ternampak kolam besar tu. Pagi petang budak-budak turun ke kolam bermandi-manda.  Sekejap saja dia ke pantai bermain pasir.  Lepas jugalah keinginannya... Masa ke Pangkor awal tahun hari tu, puas dah bermain pasir di pantai.






Beraya di Bukit Fraser

Assalamualaikum,

Post kali ini aku ingin berkongsi kisah berhari raya di Bukit Fraser, Raub, Pahang.  Mula-mula terasa lucu juga tatkala suami ajak bercuti...erm hari raya pergi bercuti?? Tapi bila fikir-fikir ok juga.  Tak rancang lama pun, hari raya pertama dan kedua kami masih di rumah, menerima kunjungan sanak saudara di samping mengunjungi rumah saudara-mara yang berdekatan.  Kubur emak dan abah tak lupa kami kunjungi pada hari pertama setelah solat sunat aidilfitri.  Hari raya kedua, suamiku Zul tampak serius dengan rancangannya mengajak kami pergi bercuti.  Cuma...tak tahu lagi ke mana destinasi nak dituju.  Kami memang suka membawa anak-anak melancong dalam Malaysia...destinasi bajet je.  Setelah mencari dalam agoda.com, akhirnya kami bersetuju untuk ke Bukit Fraser.  Sementelahan pula, kami memang suka ke tempat yang sejuk.  Nak ke luar negara, belum berkemampuan, jadi pergi tempat sejuk dalam Malaysia saja lah.  Cameron Highland baru je kami pergi bulan Jun yang lalu...jadi tempat yang dipilih kali ini ialah Bukit Fraser.


Selamat tiba di Bukit Fraser

Kami bertolak dari Benut, Pontian, Johor kira-kira 8.30 pagi.  Perjalanan kami mengambil masa yang agak lama juga, kira-kira jam 5.00 petang baru sampai ke Bukit Fraser.  Lagipun keadaan jalan raya yang agak sesak, suamiku agak bersantai-santai memandu kereta.  Lupa nak beritahu, perjalanan ke atas Bukit Fraser agak mencabar, jadi kalau pemandu amatur, dinasihatkan agar menyerahkan pemanduan kepada yang pakar. Hehe... Sampai di atas, tetiba hujan renyai turun menyebabkan suasana berkabus.  Bestnya...cuma tak ada asap je keluarlah dari mulut, tak cukup sejuk kut. Rasanya Cameron Highlands lagi sejuk dari Bukit Fraser ini...

Di balkoni apartment tempat penginapan

Menerusi Agoda.com, aku telah memilih penginapan di Silverpark Apartment dengan kadar bayaran RM190 untuk apartment 2 bilik tidur.  Memadai untuk keluargaku yang terdiri daripada aku, suami, 3 orang anak yang berusia 13, 8 dan 2 tahun, serta adik perempuanku.  Kawasan Silverpark apartment ini mendamaikan...bangunannya agak lama tapi...ok lah.  Makanannya juga, kira ok lah. Dari kiraan 10, aku boleh beri 7 kut.  Silverpark apartment ini atas sedikit daripada kawasan mercu tanda Bukit Fraser yang ada jam besar, pejabat pos, balai polis...apa lagi ekk...ohh ya ada padang golf.

Jam mercu tanda Bukit Fraser

Taman di hadapan jam besar...tak ingat pula nama tamannya...

Untuk shopping mungkin di sini tak ada apa sangat hendak dibeli.  Aku cuma membeli magnet kenangan untuk dilekatkan pada peti sejuk.  Makanan pula masih berpatutan.  Rasanya Cameron Highlands lagi mahal makanannya...Ada kawasan gerai makanan yang memenuhi citarasa, misalnya Restoran Puncak yang ada pelbagai makanan ala Johor.  Lempeng dan ubi rebus pun ada di Little England of Malaysia ini...Apapun percutian kali ini menarik juga walaupun percutian bajet...Semalam di bukit Fraser...kenangan yang mengujakan. Jadi...jom ke Bukit Fraser...
   

Tuesday, 10 July 2012

Kenangan di Tioman 2009


Percutian di Pulau Tioman ni pada tahun 2009 yang lalu.  Masa tu Amani belum lahir lagi.  Kami menaiki feri yang bayarannya kalau tak silap rm36.00 seorang.  Setelah menghubungi Pusat Pelancongan Pahang, aku menempah bilik di Chalet Bamboo Hill, semalam rm70.  Pemandangan dari atas bilik sangat cantik, bilik kecil saja tetapi boleh lah...Bamboo Hill ni terletak di Kampung ABC, kalau tak silap jeti persinggahan yang ketiga di Pulau Tioman.  

Satu yang amat mengecewakan di sini ialah jualan minuman keras yang begitu banyak dan berleluasa.  Dah rasa macam ada di luar negara kerana bangsa sendiri yang menjualnya.  Pelancong yang datang tentu nak rasa budaya dan makanan Malaysia, bukannya perlu kita hidangkan dengan makanan serta minuman yang sudah berlambak di negara mereka.

Dari segi makanan pula, di pulau Tioman ni, makanan tersangat lah mahal.  Mungkin kerana kedudukan pulau ini jauh dari daratan, jadi makanan menjadi sangat mahal.  Tips untuk ke sini, jika percutian bajet, bawalah makanan segera sebagai bekal.  Kami bawa maggie dan minuman 3 in 1.  Kalau nak membeli-belah pun agak mahal.  Cari saja t-shirt, key chain atau cenderamata yang sama di Jeti Mersing.  Harganya jauh lagi murah daripada membeli di Pulau Tioman.

Apapun...Pulau Tioman antara pulau yang cantik, tak rugi rasanya pergi ke sana.  Semasa di Marine Bay, dapat tengok ikan-ikan di dasar laut yang cantik tu...